Rasuah: Peniaga sayur Cameron Highlands mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Rasuah: Peniaga sayur Cameron Highlands mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 28 Okt. – Seorang peniaga sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai kerajaan di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 2015.

Tertuduh, Teong Tong Lai, 33, membuat pengakuan itu selepas memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, Tong Lai pada 13 Mei 2015, pukul 9.30 malam bertempat di Coffee House, Hotel Heritage, Jalan Gereja, Tanah Rata, Cameron Highlands secara rasuah telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM10,000 kepada seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Timbalan Pengarah
 Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) Majlis Keselamatan Negara Sanifah Yusof.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tanah kebun tertuduh di Hutan Simpan Terla (A), Mukim Ulu Telom, Cameron Highland.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit bersalah boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohamad Hamizey Mat Taib.

Hakim mengarahkan tertuduh membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN