MELAKA 11 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta tidak melupakan janji mereka kepada rakyat sewaktu membentangkan manifesto sebelum ini untuk membantu pelbagai lapisan masyarakat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, janji yang diumumkan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 sudah melepasi tempoh 100 hari namun rakyat kini dapat menilai sendiri sama ada janji itu telah ditunaikan atau tidak.
“Janji 100 hari kerajaan PH sudah melepasi tempohnya dan sebelum ini kita sebagai pembangkang memberi mereka masa untuk berbulan madu.
“Harap kerajaan PH tidak lupakan janji mereka kepada rakyat dan memberi alasan manifesto bukan kitab suci,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Presiden dan ahli Majlis Tertinggi parti bersama ahli dan pemimpin Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka di Kampung Bertam Ulu, Paya Rumput di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang merupakan Ketua Pembangkang berkata, banyak janji yang diumumkan oleh kerajaan PH sebelum PRU-14 ternyata mengecewakan rakyat apabila tiada lagi bantuan kepada masyarakat luar bandar dan golongan seperti petani, peladang, nelayan serta peneroka.
Katanya, Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini juga jelas tidak memberi manfaat serta kelebihan kepada golongan bawahan sebaliknya lebih layak digelar sebagai Belanjawan DAP. – UTUSAN ONLINE











