Rakyat tidak beri mandat hapuskan keistimewaan bumiputera - Utusan Malaysia

Rakyat tidak beri mandat hapuskan keistimewaan bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Majoriti pengundi memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu bukan untuk kerajaan baharu menghapuskan label bumiputera dan bukan bumiputera.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, DAP perlu ingat bahawa keputusan PRU-14 adalah mandat rakyat untuk menukar kerajaan berdasarkan tawaran yang terkandung dalam manifesto PH.

Justeru, tegas beliau, DAP dan PH tidak boleh beranggapan kemenangan PH pada 9 Mei 2018 adalah persetujuan rakyat Malaysia untuk memperkenalkan dasar kesamarataan mengikut fahaman ‘Malaysian Malaysia’ parti itu.

“Mengubah citra dan karakter Malaysia adalah cita-cita dan aspirasi politik yang sangat berbahaya dalam Malaysia yang sangat pluralistik dan berbilang bangsa. 

“DAP dan PH tidak mempunyai mandat dari rakyat Malaysia untuk berbuat sesuka hati mereka walaupun meraih kemenangan dalam PRU yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dua wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dan Tanah Rata, Chiong Yoke Kong meminta DAP menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Mohamad berkata, pendirian dua ADUN itu juga membuktikan bahawa DAP tidak pernah meninggalkan misi untuk menjayakan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan tetap konsisten untuk mengubah karakter negara ini. 

Katanya, kedua-dua mereka menunjukkan pemikiran politik yang sangat tidak sensitif terhadap sifat sebenar Malaysia dan boleh dianggap usaha radikal yang mahu menyentuh dan mempersoal perkara asas kepada pembentukan amalan bernegara di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau meminta sebarang cubaan meratifikasikan ICERD dihentikan dan kerajaan perlu menunjukkan ketegasan supaya ia tidak dijadikan polemik politik yang merugikan semua pihak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN