KUALA LUMPUR 3 Nov. – Dalam keadaan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan akibat penggantian cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam boleh disifatkan sebagai realistik.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, langkah kembali kepada SST menyebabkan kerajaan kehilangan sejumlah besar pendapatan dan oleh sebab itu tidak dapat memberi insentif yang lebih baik berbanding Bajet 2018 serta menunaikan janji-janji dalam manifesto mereka.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat tidak seharusnya mengharapkan insentif berlebihan untuk memastikan negara lebih stabil, aman dan makmur.
“GPMS percaya dengan pengurangan insentif kepada rakyat, terutamanya golongan belia dan mahasiswa akan menjadikan anak muda lebih berdikari tanpa bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak.
“Tambahan pula, rakyat yang mengimpikan belanjawan era baharu dan inilah masanya rakyat harus memahami kekangan kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










