KANGAR 28 Nov. – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail meluangkan masa menziarahi Makam Tok Ayah iaitu Al-Marhum Sultan Sulaiman Sharifuddin Shah Ibni Al-Marhum Tengku Kelantan, Raja Patani Darus Salam di Pattani, Thailand, semalam.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Datuk Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad.
Program ziarah tersebut adalah bersempena dengan lawatan Tuanku Syed Sirajuddin ke Pattani bagi menyempurnakan majlis perasmian Bangunan Majmak Sirajuddin Jamalullail Perlis iaitu Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Fatoni (FTU) yang disumbangkan oleh MAIPs pada sebelah petangnya.- UTUSAN ONLINE










