KANGAR 1 Nov. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan berangkat melancarkan Centre of Technology (COT) UniMAP yang diadakan di Annex Dewan Ilmu UniMAP, Pauh Putra baru-baru ini.
Mengiringi baginda ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Uda Hashim, COT UniMAP adalah inisiatif asal daripada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman.
Melalui penubuhan ini, hasrat utama penubuhan COT secara umumnya adalah mendekatkan UniMAP bersama pihak Industri antaranya melalui : • Penggunaan teknologi moden dan dinamik antara industri dan UniMAP. • Megoptimuman pengurusan infrastruktur melalui perkongsian antara Industri dan UniMAP. • Menggalakkan penyelesaian inovasi untuk penyelidikan.
Sehingga kini UniMAP telah mempunyai sebanyak 33 COT yang juga melibatkan industri-industri dalam dan luar negara dan jumlah tersebut akan terus berkembang dari masa ke semasa.
Industri yang terlibat dengan COT ini antaranya SilTerra Malaysia Sdn Bhd, Molex (Malaysia) Sdn. Bhd., Rohde & Schwarz Malaysia Sdn Bhd, Motorola Solutions Malaysia Sdn.Bhd.
Hasil daripada penubuhan COT adalah penempatan makmal dan peralatan industri di UniMAP, perolehan dana penyeldikan kepada staf-staf UniMAP, kebolehpasaran Graduan serta penempatan staf UniMAP di industri. – UTUSAN ONLINE











