ESOK masyarakat beragama Hindu akan menyambut perayaan Deepavali. Di negara ini, setiap perayaan mempunyai keunikannya tersendiri, begitu juga dengan Deepavali. Perayaan ini disambut sebagai satu perayaan kebangsaan iaitu lambang perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk. Seperti perayaan lain, persiapan Deepavali bermula lebih awal. Sudah menjadi amalan apabila tibanya sesuatu perayaan besar di negara ini, banyak ruang niaga sementara diwujudkan di tempat-tempat strategik di setiap bandar, pekan dan kampung.
Tinjauan penulis di beberapa tempat strategik di sekitar ibu kota, seperti kawasan Brickfields, Lebuh Ampang, Jalan Masjid India, Sentul serta di Jalan Tengku Kelana, Klang, didapati gerai-gerai sementara didirikan di lokasi-lokasi tersebut. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada semua lapisan kaum turut membeli-belah pakaian, kuih-muih dan manisan. Tidak ketinggalan juga pelancong asing yang merakam suasana itu untuk kenangan.
Menurut kepercayaan masyarakat Hindu, Deepavali diraikan sebagai tanda kemenangan ke atas kezaliman yang telah menindas rakyat pada suatu ketika dahulu. Perayaan Deepavali menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan. Secara simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan. Maksud tersiratnya adalah menyemai nilai-nilai kerohanian dalam diri seseorang untuk membentuk individu yang suci dan baik dengan mengatasi nilai-nilai negatif dalam dirinya demi perkembangan spiritual dan rohani.
Perkataan Tamil “Deepavali” adalah kombinasi dua perkataan. “Deepam” yang membawa maksud “cahaya” atau “lampu” manakala “Vali” bermaksud “arah” atau “jalan”. Maksud kasarnya menggambarkan perjalanan menuju ke arah cahaya, atau membentuk hidup menuju ke arah yang lebih cerah, dan bersifat kerohanian dan kejasmanian yang lebih tinggi nilainya.
Pelbagai aktiviti dilakukan sempena menyambut Deepavali bersama keluarga. Pada malam sebelum Deepavali, aktiviti melukis corak di ruang tamu rumah atau lebih sinonim dipanggil Kolam dilakukan dengan menggunakan beras berwarna-warni yang memberi simbol kemeriahan keluarga dan suasana ceria yang diiringi dengan persekitaran harmoni dan aman.
Deretan pelita yang dipanggil “Vilakku” juga akan dipasang di sekeliling rumah. Villaku diperbuat daripada tanah liat, sumbu kain serta minyak kelapa digunakan untuk menghidupkan cahaya.
Kepercayaan memasang pelita adalah untuk menyambut kesejahteraan. Sinaran cahaya pelita diibaratkan kecerahan yang menandingi kegelapan, keadilan yang menandingi kezaliman serta kebijaksanaan yang menandingi kejahilan.
Mandi minyak pada pagi hari Deepavali adalah suatu amalan turun temurun. Ia untuk membersihkan diri dari segi rohani. Minyak bijan dilumur di kepala ahli keluarga dan akan dilakukan oleh ahli keluarga yang lebih tua. Penulis masih ingat semasa muda dahulu, aktiviti menyapu minyak dilakukan oleh bapa penulis Muthusamy. Ada adik penulis yang meminta supaya disapukan sedikit sahaja.
Setelah selesai upacara mandi minyak, semua ahli keluarga akan berkumpul di dalam bilik “pooja” untuk upacara sembahyang. Keluarga yang paling tua atau ketua rumah akan mengetuai upacara ini. Doa dan mantera yang dibaca bersama akan mewujudkan suatu suasana kerohanian yang mesra. Selepas itu, ahli-ahli keluarga akan menerima pakaian baharu daripada ahli keluarga yang tua itu, serta bermaaf-maafan.
Selalunya inilah peluang ahli keluarga dan anak-anak mengenakan pakaian tradisi kaum India seperti sari, pavadai thavani, salwar, kurta, dothi atau veshti serta jippa. Ada juga keluarga yang akan pergi ke kuil selepas upacara sembahyang ini.
Ziarah menziarahi dan rumah terbuka adalah suatu amalan masyarakat majmuk negara ini. Ahli keluarga berkumpul bersama sanak saudara dan sahabat handai bagi menyambut Deepavali serta mengeratkan silaturahim dan bertanya khabar. Pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai sajian tradisional dan manisan. Bagi masyarakat India, manisan merupakan juadah penting semasa menyambut Deepavali.
Sajian manisan dianggap membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan berpanjangan. Antara juadah manisan yang sering dihidangkan adalah laddu, jilebi, halwa, kesari, serta masakan tradisi seperti tosai, idli, putu mayum, yang sering diiringi dengan kari dhal. Ini adalah sebagai hidangan sarapan pagi, makan tengah hari pula diikuti dengan nasi minyak, nasi beriani serta hidangan lain seperti kari dan kurma ayam, kambing serta sayur-sayuran.
Dalam bergembira, masyarakat India juga harus mengamalkan kesederhanaan serta penjimatan semasa musim perayaan ini. Kerohanian perlu sentiasa diutamakan. Keselamatan di jalan raya juga harus diberikan perhatian. Walau apapun, penulis berharap bahawa perayaan ini akan menghidupkan dan menyemarakkan lagi semangat kekitaan dan kesejahteraan dalam kalangan semua lapisan masyarakat di negara ini.
PENULIS ialah Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.










