KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli menewaskan pencabarnya, Mohamed Azmin Ali dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu di Cabang Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mohd. Rafizi memperoleh sebanyak 440 undi manakala Mohamed Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR sekadar mengumpul 120 undi.
Jumlah tersebut diperoleh hasil undian 1,125 daripada 6,036 ahli PKR Cabang Kota Kinabalu yang hadir mengundi di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini bermula pada pukul 8 pagi hingga 3 petang tadi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Christina Liew pula berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu dengan meraih sebanyak 541 undi sekali gus mengalahkan pesaingnya, Lai Tze Cheng @Julian (106 undi).
Direkodkan, fasa pertama pemilihan PKR Sabah yang mempunyai seramai 145,639 ahli bermula hari ini di 12 daripada 25 cabang negeri ini.
Selain Cabang Kota Kinabalu pemilihan parti tersebut turut berjalan di Cabang Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.
Baki 13 cabang seperti Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar pula akan berlangsung esok. – K! ONLINE










