Rafizi ganti MB Negeri Sembilan spekulasi nakal - Aminuddin - Utusan Malaysia

Rafizi ganti MB Negeri Sembilan spekulasi nakal – Aminuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 14 Nov. – Menteri Besar, Aminuddin Harun menyifatkan spekulasi bahawa Rafizi Ramli akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan menggantikannya sebagai nakal.

Beliau berkata, Naib Presiden PKR tersebut mempunyai peranan lebih besar dan tidak wajar hanya menjadi pemimpin di peringkat negeri.

“Keputusan mahkamah berhubung kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau belum keluar tetapi sudah ada macam-macam spekulasi. Saya bukan sayangkan jawatan. Saya sedia beri jawatan kalau itu kehendak pimpinan.

“Tetapi saya rasa kalau Rafizi diletakkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, itu adalah keputusan nakal kerana beliau sepatutnya mempunyai peranan lebih besar, bukan sekadar menjadi pemimpin negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin Rafizi akan dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan sekiranya mahkamah memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan ekoran petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kerusi DUN itu dimenangi tanpa bertanding oleh calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PRU-14 selepas Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon di Rembau.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau mempunyai dua atau tiga calon yang difikirkan sesuai dan tidak menolak anak tempatan akan diletakkan sebagai calon, namun menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, beliau yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 29 Oktober lalu mengakui sudah kembali pulih dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN