KENINGAU – Lawatan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli di pusat pemilihan cabang Keningau di sini hari ini menimbulkan kekecohan sehingga memaksa beliau beredar dari dewan.
Dalam rakaman video berdurasi 3.19 minit yang tular hari ini, menyaksikan Mohd. Rafizi yang memakai kemeja biru dikepung di sudut dalam dewan berkenaan oleh para penyokongnya.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila terdapat pengundi bertindak luar kawalan memusnahkan jaring dewan sehingga berlaku pertembungan antara penyokong dan pasukan keselamatan bertugas.
Difahamkan dalam kejadian itu Rafizi telah diserang dari belakang, bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Turut tular ialah beberapa keping gambar Rafizi membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Keningau dipercayai berkaitan dengan kejadian serangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Pada hari ini, berlangsungnya fasa pertama pemilihan PKR negeri Sabah yang mempunyai seramai 145,639 ahli bermula hari ini di 12 daripada 25 cabang negeri ini.
Pemilihan PKR hari ini berlangsung di Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.
Baki 13 cabang seperti Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar pula akan berlangsung esok.
Pemilihan PKR pada kali ini menyaksikan perebutan kerusi panas Timbalan Presiden PKR antara Mohd. Rafizi dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – K! ONLINE










