Pyongyang sorok pangkalan senjata - Utusan Malaysia

Pyongyang sorok pangkalan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 13 NOV. – Korea Utara didakwa menyembunyikan sekurang-kurangnya 13 pangkalan peluru berpandu yang tidak diisytiharkan untuk menyimpan senjata berkenaan.

Para penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) di sini memberitahu, mereka mengesan operasi ke­semua pangkalan itu yang tidak diisytiharkan oleh Pyongyang dan berkemungkinan wujud lebih 20 pangkalan yang sama.

Sebelum ini Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji usahanya semasa persidangan bersama-sama pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang membawa persetujuan pemimpin itu untuk melucutkan senjata nuklear miliknya.

Ketua Program CSIS bagi Korea Utara, Victor Cha berkata, operasi pangkalan itu tidak ditamatkan sebaliknya masih dite­ruskan.

“Kerja-kerja masih diteruskan namun apa yang membimbangkan ialah Trump akan menerima perjanjian yang teruk iaitu mereka (Korea Utara) ha­nya menutup satu tapak ujian nuklear dan memperoleh perjanjian damai,” katanya.

Namun Korea Selatan dan pakar analisis cuba meredakan isu tersebut dengan membe­ritahu, pangkalan tersebut telah dikenal pasti sejak bertahun-tahun lalu dan Pyongyang tidak pernah berjanji untuk menutup­nya.

Menurut penyelidik CSIS, pangkalan itu dibina berselerak di negara berkenaan melalui terowong yang melangkaui beberapa lembah pergunungan.

Malah pangkalan itu direka bentuk untuk memudahkan pelancar peluru berpandu keluar dengan pantas ke tapak pelancar yang telah disediakan.

Pangkalan senjata strategik seperti peluru berpandu balistik antara benua terletak di kawasan terpencil di Korea Utara.

Peluru berpandu jarak sederhana yang mampu menjangkau ke Jepun dan Korea Selatan dilaporkan telah dipindahkan ke lingkaran operasi yang terletak kira-kira 150 kilometer utara Zon Bebas Tentera (DMZ).

Peluru berpandu jarak dekat pula berada di lingkaran taktikal kira-kira 85 kilometer dari DMZ.

Para penyelidik menemukan pangkalan itu berdasarkan imej satelit, temu bual dengan individu yang berpaling tadah dan pegawai perisikan serta pegawai kerajaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN