Putrajaya 7 nov. – Tawaran sehingga 120 jenis masakan ala carte dan hidangan set keluarga pasti membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih hidangan di Putrajaya Seafood Restaurants.
Terkenal dengan masakan autentik Cina, restoran yang beroperasi di Taman Botani itu mempunyai keunikan tersendiri kerana menawarkan pelbagai pilihan.
Antara keistimewaan restoran yang dikendalikan oleh Putrajaya Catering Service (PCS) itu adalah pelanggan boleh membuat pilihan ikan hidup seperti siakap, kerapu, talapia serta ketam untuk dimasak mengikut citarasa sendiri.
Pengurus Besar Perkhidmatan Katering PCS, Mahmad Anuar Othman berkata, selain masakan Cina, pelanggan Putrajaya Seafood Restaurants boleh membuat pesanan menu ala carte termasuk makanan barat.
“Harga yang ditawarkan pula berpatutan iaitu antara RM20 hingga RM90 untuk ala carte dan RM888 hingga RM1,288 untuk set keluarga.
“Untuk set keluarga, hidangan disediakan untuk 10 orang pelanggan dengan lapan menu utama masakan Cina. Set keluarga menjadi pilihan utama pelanggan di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mahmad Anuar, antara hidangan yang paling mendapat sambutan di restoran berkenaan ialah Ikan Kerapu Stim Superior Hong Kong yang berharga RM18 untuk 100 gram.
Selain itu adalah Sea Bass Sweet & Sour yang berharga RM9 untuk 100 gram, Golden Roasted Chicken (RM28 hingga RM56) dan Baked Fresh Water Prawn With Cheese & Minced Garlic (RM60).
Selain itu katanya, antara menu wajib cuba dan turut mendapat tempahan pelanggan ialah Chili Mud Crab With Sweet Bun. Pelanggan boleh memilih sendiri ketam di dalam akuarium yang disediakan dengan harga RM150 untuk sekilogram.
“Restoran ini boleh memuatkan 180 orang pelanggan, selain itu kami juga menyediakan bilik khas berhawa dingin yang boleh memuatkan 20 pelanggan dan kami juga menerima tempahan untuk sebarang majlis,” katanya.
Putrajaya Seafood Restaurants dibuka pada setiap hari bagi dua sesi iaitu 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan 6 petang hingga 10 malam. Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8889118.











