Puspanita Putrajaya bantu ibu tunggal - Utusan Malaysia

Puspanita Putrajaya bantu ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 11 Nov. – Seramai 50 penduduk tempatan, kebanyakannya ibu tunggal dan warga emas dipilih menerima pelbagai barang makanan dalam program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Putrajaya di Masjid Jamek Haji Yusof Mukim Bukit Meriam di sini, hari ini.

Setiausaha persatuan itu, Noor Maliza Jamal berkata, sumbangan diberikan berupa minyak masak, beras, telur dan lain-lain sempena program Kembara Memperkasa Wanita dan Ziarah Semurni Kasih Ke Negeri Kedah 2018 yang diadakan sejak Khamis lalu.

“Di samping itu, kami juga menyampaikan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 25 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kecil di sini, mereka adalah daripada keluarga miskin,” katanya kepada pemberita selepas Pengerusi Puspanita Cawangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya Datin Seri Norizam Che Mohd. Noor menyampaikan sumbangan itu.

Yang turut hadir Penghulu Mukim Bukit Meriam daerah Kuala Muda, Khairul Annuar Zahari dan Pengerusi Suara Amal dan Kebajikan Muafakat (Sepakat) Sungai Petani, Munawir Ridzwan.

Noor Maliza berkata, sebelum ini, 40 ahlinya berpeluang membuat lawatan dengan menaiki bot Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) menyusuri Sungai Merbok, melawat candi Merbok, Muzium Padi dan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

“Semasa berada di sini, kami juga turut mengagih-agihkan wang zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada ramai penduduk daripada go­longan asnaf,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN