JEMPOL – Aktiviti perjudian haram di sebuah pusat rekreasi untuk warga emas di pekan Bahau dekat sini terbongkar selepas premis itu diserbu pihak polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, premis itu diserbu selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan perjudian di situ.
“Lebih dua bulan kami memantau Pusat Rekreasi Warga Emas Bahau ini dan pernah beberapa kali melakukan serbuan di situ, tetapi tidak jumpa bukti.
“Pada pukul 2 pagi tadi kami melakukan serbuan sekali lagi dan menemui sekumpulan lelaki serta wanita berusia antara 30 hingga 50an sedang berjudi dalam premis itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, beberapa kaki judi cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis ketika serbuan, namun kesemua 13 lelaki dan tiga wanita terbabit berjaya ditahan.
Kata beliau, kesemua yang diberkas itu ditahan reman sehingga 14 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5(3) Akta Pertaruhan 1953.
Menurut beliau, kesemua suspek dipercayai bermain judi jenis pakau, mahjong dan pertaruhan bagi liga bola sepak luar negara dengan menggunakan cip sebagai medium bayaran.
Tambah beliau, kaki judi terbabit menggunakan pusat rekreasi itu sebagai tempat perjudian mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa selepas pusat judi lain di daerah ini dibanteras pihak polis.
“Kami telah mengambil keterangan pemilik premis itu bagi membantu siasatan. Pusat Rekreasi Warga Emas Bahau ini telah beberapa tahun beroperasi dan aktiviti perjudian baru diadakan di situ,” katanya. – K! ONLINE










