MARANG – Kerajaan disaran supaya menawarkan satu bentuk penajaan konsisten terhadap pelajar-pelajar pintar sebagai usaha mengekang masalah ‘brain drain’ yang akan menyebabkan Malaysia kehilangan lebih ramai permata berharga.
Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak berkata, para pelajar tersebut merupakan aset negara yang perlu dijaga agar sumbangan mereka boleh dimanfaatkan serta dinikmati oleh rakyat tempatan.
“Saya tidak lah meminta dana yang besar tetapi anak-anak ini merupakan aset berharga, jika dijaga daripada awal sehingga tamat pengajian mereka akan merasa lebih selamat untuk terus berkhidmat di negara sendiri.
“Kita memerlukan satu mekanisma yang boleh mengikat para pelajar ini selain mengharapkan peluang penajaan yang konsisten untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas Forum Kenali Anak Pintar di Pejabat Daerah Marang di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pusat PERMATApintar, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga dan Pelajar Pintar Terengganu, Mohd. Shukri Abd. Rahman. – K! ONLINE










