KOTA BHARU 11 Nov. – Sistem federalisme atau persekutuan yang diamalkan di negara ini sejak merdeka hingga kini memperlihatkan keperluan kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan adalah berkait antara satu sama lain.
Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara maju, Kelantan perlu dibangunkan bersama negeri-negeri lain yang ada di negara ini.
Titah baginda, kerjasama erat yang telah lama terjalin antara Pusat dengan Kerajaan Pas Kelantan harus ditingkatkan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara serta demi masa depan rakyat yang lebih cemerlang.
“Adalah menjadi harapan beta tanggungjawab ini dapat dijalankan dengan harmoni oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia (Jadual 9),” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-49 di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Baginda juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan pelaksanaan Central Spine Road (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sebagaimana ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), bulan lalu.
“Beta juga amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan segera projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan mempercepatkan projek tebatan banjir yang turut melibatkan pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Golok dan Sungai Kelantan ke fasa seterusnya,” titah baginda.
Dalam istiadat tersebut, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir mendahului senarai 602 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat. Beliau menerima Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Bagaimanapun Mukhriz dijadual hadir bagi menerima darjah kebesaran tersebut dalam sesi kedua istiadat pengurniaan kehormatan kebesaran Kelantan pada Mac tahun depan.
Selain Mukhriz, turut menerima SJMK ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Rohm Wako Co Ltd, Datuk Yosuke Yoshioka.
Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang menjadi individu tunggal yang menerima Darjah Seri Paduka Kesateria Mahkota Kelantan (SPKK) juga membawa gelaran Datuk.
Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Nazran Muhammad, dua Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam iaitu Datuk Mohd Azman Husin dan Datuk Mohd. Yazid Mustafa serta Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pula menerima Darjah Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan (SPSK) yang juga membawa gelaran Datuk. – UTUSAN ONLINE










