SEPANG 12 Nov. – Pengendali perkhidmatan darat, Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) melancarkan pusat kawalan digital untuk AirAsia yang pertama di Malaysia.
Pusat kawalan itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di GTR KLIA2, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pusat kawalan digital sepenuhnya itu membolehkan GTR mengesan pengendalian pesawat dengan menumpukan maklumat digital dalam masa sebenar.
Ia juga menyelaraskan bagasi dan aktiviti pengendalian bagasi melalui papan skrin digital untuk menyasarkan operasi pelepasan pesawat dalam jangka masa 25 minit.
“Dalam proses pendigitalan ini, kakitangan AirAsia akan menggunakan telefon pintar untuk melancarkan proses di pintu pelepasan.
“Ini bagi membolehkan kakitangan memeriksa penumpang dengan mudah sambil memeriksa proses pelepasan dalam masa sebenar dengan cekap dan tepat,” katanya pada majlis perasmian itu. – UTUSAN ONLINE











