Pukauan Pulau Selatan: Garupa menuju syurga - Utusan Malaysia

Pukauan Pulau Selatan: Garupa menuju syurga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lawatan ke New Zealand diteruskan perjalanan dari Cromwell ke Te Anau ia mengungkap keindahan Pulau Selatan.

Perjalanan yang panjang dari satu destinasi ke destinasi berikutnya tidak pernah membuatkan kami berasa penat. Rugi rasanya jika tertidur walaupun sebentar kerana kami akan ketinggalan menikmati pemandangan alam yang indah.

Dalam perjalanan tersebut kami berhenti di Wanaka, sebuah bandar kecil di tepi Tasik Wanaka. Paling menarik terdapat World Puzzle di mana pengunjung boleh bermain puzzle sambil berehat dan minum-minum kerana di sini terdapat kafé.

Di Tasik Wanaka pula kami melihat banyak itik yang berenang-renang. Kelajuan kenderaan mesti diperlahankan bagi membolehkan itik-itik tersebut melintas jalan raya! Malah, terdapat papan tanda menunjukkan simbol itik melintas jalan.

Sebenarnya sepanjang berada di Negara Kiwi ini, kami mendapati pemandu-pemandu di sini sangat menghormati pejalan kaki. Pejalan kaki tidak perlu berhenti untuk memastikan keselamatan mereka sebaliknya pemandu-pemandu yang akan segera memperlahankan kenderaan dan berhenti untuk membolehkan pejalan kaki melintas dengan selamat.

Kami meneruskan perjalanan ke Te Anau selepas makan tengah hari dan selesai menunaikan solat. Hari itu, kami menunaikan ibadah solat di atas padang rekreasi di Te Anau. Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana amat sukar untuk mencari masjid di New Zealand. Dan ini merupakan pengalaman baharu bagi kami yang kali pertama menjejaki negara ini.

Kami singgah di sebuah kedai cenderamata milik seorang rakyat Malaysia! Hebatnya!. Wanita berasal dari Sabah itu menceritakan beliau telah lama berniaga barangan cenderamata di Te Anau. Tempat ini sememangnya sedikit sunyi.

Mungkin kerana ketika kami sampai telah menghampiri waktu maghrib. Setelah membeli-belah sedikit barangan cenderamata, kami bertolak ke Motel Te Anau Lakeview. Malam itu kami tidur awal kerana esok seusai subuh kami perlu bergerak menuju Milford Sound.

Milford Sound (Piopiotahi) dikatakan jantung Taman Nasional Fiordland yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Di New Zealand, ia diakui sebagai tempat pelancongan paling popular.

Milford Sound juga dikatakan berada dalam kelompok 10 tempat menarik di dunia yang menjadi tumpuan pelancong sehingga digelar The eighth wonder of the world oleh Joseph Rudyard Kipling, seorang wartawan, penulis puisi, cerpenis dan novelis. Milford Sound dinamakan sempena nama Milford Haven di Wales.

Manakala, Piopiotahi ialah bahasa Maori bermaksud piopio yang satu. Piopio ialah spesies burung yang menurut kepercayaan masyarakat Maori jika berlaku kematian dalam kalangan anggota masyarakatnya, burung piopio akan terbang ke Milford Sound untuk berkabung.

Untuk sampai ke Milford Sound kami memandu hampir dua jam dari Te Anau. Sebelum sampai ke Milford Sound kenderaan kami melalui Terowong Homer sepanjang lebih kurang satu kilometer. Untuk melalui terowong tersebut kami perlu menunggu giliran kerana jalannya yang sempit.

Kami terpegun menyaksikan keindahan alam di Milford Sound. Ia merupakan sebuah fiord iaitu kawasan aliran air yang panjang, sempit, berkeluk-keluk dan berteluk. Di kiri kanannya pula gunung-ganang memagari kawasan fiord tersebut. Fiord terhasil apabila air laut mengalir ke lembah yang terbentuk berhampiran glasier.

Pada pukul 9 pagi kami menaiki feri yang membawa kami mengitari Milford Sound yang biru airnya. Dari kejauhan ternampak air terjun dan gunung-ganang yang diliputi salji. Puncak gunung Pembroke berketinggian 2,015 meter dan puncak Mitre kelihatan gagah membentengi Milford Sound. Aliran air Milford Sound bersambung dengan Laut Tasman. Usai menikmati keindahan alam di Milford Sound, kami meneruskan perjalanan ke Arrowtown.

Ia merupakan sebuah bandar kecil. Bandar kecil ini kaya dengan sejarah dan pernah menjadi tumpuan pelombong emas seluruh dunia. Hanya 20 minit pemanduan dari Queenstown, kini Arrowtown merupakan salah satu destinasi pelancongan yang mesti dilawati di New Zealand.

Bandar kecil ini kaya dengan bangunan bersejarah dan menjadi warisan yang dibanggakan di New Zealand. Pada petang itu juga, kami dibawa menaiki Skyline Gondola. Gondola ini merupakan yang pertama seumpamanya di New Zealand apabila ia memulakan operasinya pada 1967. Pengalaman menaiki gondola amat mendebarkan.

Malam itu kami bermalam di Arrowtown. Malam itu sebenarnya malam Hari Raya Aidil Adha. Sedih juga berada di perantauan ketika sambutan hari raya bakal berlangsung. Dalam sunyi malam di Arrowtown kami bertakbir perlahan-lahan.

Pagi ini Hari Raya Aidil Adha yang cerah. Tiada ketupat, tiada rendang, tiada kuah kacang. Yang ada cumalah salji di Coronet Peak. Coronet Peak merupakan tempat penduduk tempatan dan pelancong bermain ski. Terdapat salji sepanjang tahun di sini kerana suhu Coronet Peak hanya 4o darjah Celcius.

Bermain salji bukanlah kali pertama untuk kami. Namun, inilah kali pertama kami menyentuh salji di Coronet Peak. Ramainya peluncur salji termasuk kanak-kanak yang kelihatan begitu comel mengepit papan luncur dengan wajah yang kemerah-merahan. Petang itu, kami dapat juga menikmati jamuan hari raya ala New Zealand yang disediakan oleh Mak Da. Ada ketupat dan kuah kacang tersedia. Juga terdapat salad dan pengat labu.

Sungguh enak walaupun tanpa rendang dan lontong. Petang itu selepas menjamu selera kami menuju mengitari Bandar Queenstown. Kami singgah di Queenstown Mall dan membeli-belah sedikit cenderamata untuk dibawa pulang kerana malam ini merupakan malam terakhir kami berada di bumi kiwi ini.

New Zealand menghidangkan keindahan pemandangan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Pukauan Pulau Selatan ini menyebabkan kami merasakan seolah-olah ingin berada di sini selama-lama. Ternyata tanah kiwi ini merupakan gapura menuju syurga. Syurga dunia kurniaan Ilahi kepada manusia. Kami akan terbang pulang ke sarang. Terima kasih atas keramah-tamahan. Haere Ra New Zealand!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN