SINTOK – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menghadapi masalah kewangan serius boleh membuat rayuan agar tidak dikenakan potongan gaji berjadual.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, peminjam yang berpendapatan RM1,000 ke atas itu bagaimanapun perlu mengemukakan rayuan dengan alasan yang munasabah.
“Saya menerima banyak rayuan daripada peminjam yang minta pengecualian (bayaran balik pinjaman) sebelum ini dengan memberikan banyak alasan.
“Saya boleh terima kalau alasannya belum dapat kerja atau ibu bapa sakit tetapi ada peminjam yang berikan alasan tidak munasabah iaitu minta tangguh kerana nak beli kereta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program santai bersama Pengerusi PTPTN di Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani. – K! ONLINE










