PTPTN: potongan dibuat mengambilkira keperluan semasa, akan datang - Utusan Malaysia

PTPTN: potongan dibuat mengambilkira keperluan semasa, akan datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 5 Nov. – Pengenalan kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji kepada mereka yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan dibuat setelah kerajaan mengambilkira keperluan semasa dan akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sebelum ini PTPTN dilihat masih mampu untuk memenuhi permintaan.

“Namun apabila dilakukan penilaian semula, kita nampak semacam ada sesuatu yang tidak tertampung. Disebabkan itu kita letakkan mereka yang memiliki pendapatan melebihi RM1,000 membayar semula bermula dengan kadar dua peratus.

“Kadar dikenakan itu tidaklah banyak sangat namun yang penting bayaran balik dapat dibuat dan digunakan untuk memberi pinjaman baharu kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Forum Pasca Belanjawan 2019 anjuran Institut Kajian ekonomi dan Kewangan (ECoFI) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

Forum tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan turut dihadiri Naib Canselor UUM,  Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Mengulas kritikan banyak pihak mengenai keputusan memberikan subsidi petrol bersasar terhdap kereta berkapasiti 1,500 cc (1.5cc) dan motosikal 125 cc ke bawah, Amiruddin menafikan kerajaan bersikap ‘flip-flop’ dalam perkara itu.

“Saya tak fikir flip-flop cumanya kita belum keluarkan perinciannya lagi. Namun apabila kita katakan subsidi bersasar, sudah tentulah yang bersasar ini merupakan mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebahagian daripada mereka berpendapatan sederhana (M40).

“Kalau terkeluar dari golongan itu tentulah tak dapat. Kami sedang perincikan lagi dan sebab itu pelaksanaanya hanya akan dibuat pada suku kedua 2019,” katanya.

Ditanya sama ada kritikan dilemparkan itu bermotifkan politik, Amiruddin berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Ada sesetengah komen kita akui baik dan perlu diambil kira tetapi kebanyakanya mungkin kerana mereka tidak sehaluan dengan kita, maka mereka perlu buat komen tidak baik. Itu saya serahkan kepada awam untuk menilai,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN