DUNGUN 14 Nov. – Politeknik Sutan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) kini menawarkan kepada kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan institusi kemahiran yang berkelayakan untuk memohon kemasukan ke institusi itu bagi sesi Disember 2018 secara datang terus (walk-in).
PSMZA dalam satu kenyataan memberitahu, pemohon boleh datang ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan membawa kad pengenalan bersama slip keputusan SPM sebelum tarikh tutup 30 Disember.
Sebanyak 520 pengambilan disasarkan bagi sesi berkenan yang ditawarkan kepada calon-calon lepasan SPM, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Calon-calon boleh memilih salah satu daripada 10 kursus yang ditawarkan termasuk Diploma Kejuruteraan Awam Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).
Juga Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Kejuruteraan Elektrik Elektronik, Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dan Pra Diploma Sains.
“Bagi program Diploma, pemohon mestilah berkelulusan SPM dengan memperoleh 3kredit SPM termasuk Matematik serta lulus Bahasa Inggeris, Sejarah & Bahasa Melayu manakala
bagi lulusan Kolej Komuniti, ILP, IKM, IKBN, perlu mempunyai Sijil Tamat Latihan atau Siji lKemahiran Tahap 3 dan 1 kredit mana-mana subjek SPM.
“Bagi program Pra Diploma Sains, pemohon perlu lulus SPM dengan tiga 3 kredit di samping lulus Matematik, Bahasa Inggeris, sejarah& Bahasa Melayu,”ujar kenyataan itu lagi. -UTUSAN ONLINE










