LONDON 14 Nov. – Bintang Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe percaya pasukannya berada di landasan yang tepat, namun mengakui mereka masih belum mampu berada setaraf dengan pencabar utama Liga Juara-Juara.
Sejak pasukan dari Perancis itu diambil alih pelabur Qatar yang kaya-raya pada 2011, banyak perubahan mendadak berlaku sehingga mereka mampu memenangi lima daripada enam gelaran terakhir Ligue 1, sekali gus mendominasi liga sekali lagi musim ini.
Bagaimanapun PSG gagal menyerlah di pentas Eropah, apabila sekadar berada di pusingan 16 terakhir selepas tewas kepada gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid dalam dua musim terakhir.
Pada ketika mereka melebarkan kedudukan dengan kelebihan 13 mata di carta Ligue 1, selain memecahkan rekod permulaan baik dalam kempen itu di Perancis, kelihatan Liga Juara-Juara kekal menjadi ujian getir kepada mereka sekali lagi.
PSG menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan C bersama Liverpool dan Napoli, dengan pasukan dari Liga Perdana Inggeris itu bakal mengunjungi mereka dalam Liga Juara-Juara di Parc de Princes 29 November ini.
Sekalipun cita-cita PSG untuk memenangi Liga Juara-Juara, Mbappe menganggap masih banyak yang perlu mereka tingkatkan sebelum mampu menjadi pencabar utama kejuaraan Eropah dan berazam mengucup trofi berprestij tersebut suatu hari nanti.
“PSG langsung tidak pernah berhenti meningkatkan prestasinya sejak pemilik baharu mengambil alih, dan kami sebagai pemain juga berkembang selari dengan peningkatan itu sebelum kami boleh memikirkan untuk memenangi Liga Juara-Juara.
“Kami sangat sedar tentang langkah-langkah ini dan jika setiap orang memainkan peranannya, ia akan datang secara semulajadi.
“Bagaimanapun, menerusi potensi kami sudah tentu Liga Juara-Juara menjadi matlamat utama kami,” kata Mbappe yang turut mengakui kemasukannya bersama Neymar pada musim panas 2017 ke PSG menyemarakkan semangat pasukannya untuk melakar lebih banyak gelaran.– AGENSI










