Prospek pasaran hartanah di Malaysia kekal stabil - Utusan Malaysia

Prospek pasaran hartanah di Malaysia kekal stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Prospek pasaran hartanah Malaysia akan terus kekal stabil dan baik bagi tahun-tahun akan datang walaupun harga yang diminta bagi kediaman adalah rendah mengikut Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI), menurut portal hartanah dalam talian terkemuka, PropertyGuru Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada suku ketiga 2018, PMI menunjukkan harga yang diminta oleh pemaju hartanah dan pemilik individu di seluruh negara, turun 1.8 peratus daripada suku sebelumnya manakala harga berasaskan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 2.5 peratus.

Pengurus Negara bagi Malaysia, Sheldon Fernandez berkata Malaysia masih dianggap sebagai pasaran selamat untuk melabur, membeli dan menjual hartanah memandangkan PMI menunjukkan bahawa secara amnya Malaysia tidak mengalami penurunan mendadak antara permintaan hartanah dan penawaran pasaran.

“Bagaimanapun, cabaran dalam pasaran masih wujud, sehingga kita mula menangani masalah kemampuan khususnya paras pendapatan dan harga hartanah.

“Paras pendapatan perlu pada kadar yang lebih tinggi kerana harga hartanah tidak akan turun untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada Bernama.

Fernandez berkata, kerajaan perlu terus berperanan penting dalam menyelesaikan masalah kemampuan memandangkan ia akan menjejaskan prestasi ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, sektor swasta juga seharusnya bekerjasama dalam mengimbangi penawaran dan permintaan mengikut keadaan semasa.

“Seperti yang kita faham, pemaju adalah entiti perniagaan dan mereka mahu beroperasi pada tahap yang menguntungkan untuk membiayai pertumbuhan masa depan mereka. Terdapat peluang dan cabaran kerana reaksi mereka juga akan bergantung kepada keadaan pasaran.

“Sekiranya pemaju mengalami tekanan apabila berusaha mahu menjual produk mereka, pemaju perlu membuat beberapa pengorbanan seperti menyediakan insentif lebih baik untuk pembeli,” katanya.

Selain itu, Fernandez menggesa pembeli rumah dan mereka yang berpotensi mahu membeli rumah supaya menjadi bijak dari segi penjimatan, pelaburan dan pengetahuan hartanah agar dapat membuat keputusan yang lebih baik.

“Melangkah maju, kami berharap dapat menyaksikan sentimen positif dan pasaran berprestasi lebih baik pada 2020 dan selepas itu namun, ini mungkin sukar diperkatakan memandangkan kita perlu melihat apa yang ditetapkan oleh Belanjawan 2019 untuk industri ini,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini