KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenal projek pengalihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ringan daripada sistem kehakiman sedia ada bermula tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek ini dikenali sebagai Diversion yang merupakan projek perintis kementerian.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, kanak-kanak tersebut akan menjalani modul intervensi yang disediakan khas untuk mereka mengikut jenis kesalahan dan latar belakang kanak-kanak tersebut.
“Mengikut model ini, kanak-kanak yang tersabit kesalahan ringan tidak akan ditahan.

“Modul intervensi tersebut merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan,” katanya sewaktu berucap pada majlis lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Muhammad Razmee Abd. Razak. – UTUSAN ONLINE










