BENTONG 6 Nov. – Pembinaan talian penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melibatkan kawasan di Janda Baik di sini merupakan projek berkepentingan nasional dan bukan hanya memberi manfaat kepada kerajaan negeri semata-mata.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan penting dalam menampung bekalan tenaga elektrik di kawasan tengah Semenanjung khususnya di Lembah Klang.
“Walaupun kepentingan banyak untuk nasional, kita sanggup berkorban kerana kita faham bahawa bekalan ini diperlukan di Lembah Klang dan negeri-negeri lain selain Pahang.
“Kita dapati bahawa projek ini adalah berkepentingan nasional manakala Pahang hanya menyediakan (sediakan kawasan) sebab bekalan kabel ini perlu disalurkan ke negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Janda Baik di sini, baru-baru ini.
Projek pembinaan talian penghantaran TNB dari Air Tawar, Perak ke Yong Peng, Johor sejauh 513 kilometer itu bernilai RM1.5 bilion dimulakan pada 2015.
Sementara itu, Ketua Divisyen Grid TNB, Datuk Husaini Husin berkata, pembinaan talian penghantaran itu penting bagi menampung ketidakseimbangan permintaan dan penawaran bekalan elektrik di kawasan tengah Semenanjung yang hanya mampu mengeluarkan 18 peratus tenaga elektrik berbanding keperluan sebanyak 43 peratus pada masa ini.
Beliau memberitahu, pemilihan jajaran di Janda Baik dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor daripada perincian dan pandangan pelbagai pihak.
“Antara kriteria utama ialah mengelakkan kawasan pembangunan dan penempatan dan mengelakkan kawasan tanah tinggi serta mengelakkan membelah hutan simpan,” ujarnya.










