Program Khas Pengakuan Sukarela ringankan beban rakyat - LHDN - Utusan Malaysia

Program Khas Pengakuan Sukarela ringankan beban rakyat – LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sebagai usaha untuk meringankan beban rakyat, kerajaan telah mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela melalui Belanjawan 2019 yang bermatlamat meningkatkan kutipan hasil kerajaan untuk pembangunan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai untuk tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan masing-masing.

Katanya, tawaran ini dibuat di mana-mana pejabat LHDN seluruh negara bermula pada 3 November 2018 dan akan berakhir pada 30 Jun 2019.

“Mana mana individu atau syarikat yang sebelum ini gagal melaporkan pendapatan mereka atau kurang lapor, perlu mengambil peluang ini kerana selepas tempoh tersebut, penalti yang tinggi (minima 80 peratus) akan dikenakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Sabin, program khas berkenaan ditawarkan kepada empat kategori pembayar cukai di mana kadar penalti akan dikurangkan mengikut tempoh pengakuan sukarela dan bayaran cukai dibuat.

Melalui tawaran ini, katanya, pembayar cukai akan dikenakan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10 hingga 15 peratus daripada amaun cukai yang kena dibayar berbanding kadar penalti asal yang lebih tinggi di antara 80 peratus hingga 300 peratus.

Malah, beliau memberitahu, garis panduan operasi bilangan 1 Tahun 2018 bertajuk Program Khas Pengakuan Sukarela, pelaporan pendapatan, keuntungan pelupusan aset, penyeteman surat cara dan peraturan bayaran serta set soalan lazim berkaitan telah dimuat naik pada portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my sebagai rujukan pembayar cukai.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program ini boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN