KUALA LUMPUR – Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) mencatatkan prestasi kukuh bagi suku kedua berakhir 30 September 2018 dengan keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM142.3 juta dengan hasil melonjak sebanyak 22 peratus kepada RM714.2 juta.
Pengarah Urusannya, Kuan Mun Leong berkata, peningkatan tersebut dicapai menerusi pengeluaran tambahan dan harga jualan purata yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, Kumpulan mencatatkan pengurangan jika dibandingkan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM148.2 juta pada suku pertama sebelumnya.
“Sebahagian besar penurunan itu disebabkan kos bahan mentah yang tinggi dan pelarasan permintaan pasaran berikutan langkah meneruskan pengeluaran sarung tangan vinil di China,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Sungguhpun demikian, Mun Leong menjelaskan, syarikat tetap yakin dengan prospek masa depan, berasaskan permintaan kukuh dalam sektor sarung tangan yang terus berkembang pada kadar lapan hingga 10 peratus setahun.
“Untuk memenuhi permintaan yang bertambah, pelan perkembangan kami yang dilaksanakan menerusi Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang, Selangor dijangka menghasilkan pertumbuhan pendapatan pada masa depan.
“Tiga barisan pengeluaran di Kilang 5 NGC kini sudah beroperasi, manakala yang lain akan ditauliahkan secara berperingkat dan siap sepenuhnya menjelang Mac 2019,” katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut akan meningkatkan jumlah kapasiti kepada 37 bilion keping sarung tangan setahun.

Mun Leong menerangkan, pembinaan Kilang 6 sedang dilaksanakan dengan barisan pengeluaran pertama dijangka beroperasi menjelang separuh kedua 2019.
“Apabila selesai sepenuhnya, ia akan menambah sebanyak 4.7 bilion keping sarung tangan terhadap kapasiti pengeluaran tahunan Kumpulan,” katanya.
Ujar beliau, melangkah ke hadapan, Hartalega akan memberi tumpuan meningkatkan kecekapan, disokong oleh inovasi terbaharunya, sarung tangan antimikrob (AMG) yang pertama di dunia.
“Kami berjaya menghantar bekalan pertama AMG ke sebuah syarikat bekalan perubahan Jerman pada September lalu dan potensi pertumbuhan bahagian pasaran produk berkenaan ternyata menggalakkan,” katanya.











