Presiden Sri Lanka bubar Parlimen - Utusan Malaysia

Presiden Sri Lanka bubar Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO – Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena membubarkan Parlimen kelmarin bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 5 Januari depan dalam usaha menyelesaikan krisis politik negara itu.

Pembubaran yang dijangka dicabar di mahkamah itu diumumkan dalam satu notis pekeliling rasmi ditandatangani Maithripala. Malah, beliau telah me­netapkan tarikh persidangan semula Parlimen pada 17 Ja­nuari depan.

Langkah itu diambil selepas ketegangan politik semakin memuncak sejak dua minggu lalu yang menyaksikan pemecatan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe dan pelantikan penggantinya, Mahinda Rajapaksa.

Susulan tindakan pemecatan itu, Maithripala menggantung sementara sidang Parlimen dalam satu langkah yang disifatkan Ranil sebagai cubaan untuk menghalang beliau mencabar keputusan berkenaan dari segi perundangan.

Berikutan pemecatan itu, Ranil enggan meninggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri dan menegaskan bahawa beliau di­pilih secara sah mengikut majoriti Parlimen.

Namun, sebelum Maithripala menandatangani dokumen pembubaran Parlimen dan memang­gil untuk mengadakan pilihan raya, beliau telah melantik beberapa sekutunya termasuk Mahinda untuk memegang jawatan dalam Kabinet.

Keputusan itu menyebabkan Mahinda, 72, hanya sempat memegang jawatan Perdana Menteri selama dua minggu. Beliau bagaimanapun akan mengetuai kerajaan sementara sehingga Parlimen baharu bersidang 17 Januari ini.

“Ini adalah satu pencabulan perlembagaan,” kata Harsha De Silva yang merupakan salah seorang anggota parti Ranil.

Pasukan perundangan bebas memaklumkan bahawa Parlimen hanya boleh dibubarkan pada awal tahun 2020 iaitu empat tahun setengah dari tarikh persidangan Parlimen sedia ada. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN