JOHOR BAHRU 2 Nov. – Syarikat perniagaan pasar raya, HeroMarket membuka premis kedua di bandar raya ini di Tampoi di sini dan yang ke-26 selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pengarahnya, Francis Teng berkata, dengan perkembangan itu, pihaknya menyasarkan untuk membuka tujuh kedai lagi dengan pelaburan RM5 juta dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya, tujuh kedai itu melibatkan pembukaan lima pasar raya HeroMarket dan dua kedai RM2 yang menjual barangan seperti keperluan dapur dan plastik di beberapa tempat termasuk di negeri ini dan Kuala Lumpur.
“Kita memilih dua tempat itu untuk memperluaskan lagi perniagaan kerana melihat peningkatan populasi selain pertumbuhan ekonomi yang pesat di kawasan terlibat,” katanya selepas pembukaan HeroMarket di Capital City di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










