Potensi agro pelancongan Labuan - Utusan Malaysia

Potensi agro pelancongan Labuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 02 nov. – WILAYAH Persekutuan Labuan yang terletak di perairan Sabah cukup popular sebagai destinasi beli belah dalam kalangan rakyat negara ini.

Namun sejak beberapa tahun lalu, perkembangan ekonomi pulau bebas cukai itu terbantut ekoran industri minyak dan gas yang menjadi tunjang kepesatannya jatuh merudum.

Peningkatan kos sara hidup secara tidak langsung memberi kesan kepada kira-kira 80,000 penduduk Labuan.

Dianggarkan lebih 10,000 isi rumah terpaksa meninggalkan pulau berkenaan sejak beberapa tahun lalu kerana kehilangan punca pendapatan.

Bagi merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas, kerajaan melalui Kementerian Wilayah merangka pelbagai program sebagai inisiatif mensejahterakan Labuan.

Antara usaha yang sedang dilakukan melalui Perbadanan Labuan adalah mengukuhkan industri pelancongan dan menjadikan industri berke­naan sebagai pendapatan utama.

Sebagai pelan jangka panjang, kementerian tersebut memperkenalkan program Labuan Go Green yang memfokuskan penanaman pokok buah-buahan bagi merancakkan ekonomi pertanian di wilayah itu.

Dalam tempoh lima tahun, warga Labuan bakal menerima manfaat melalui projek penanaman pelbagai jenis pokok seperti kelapa, durian dan buah-buahan tempatan sekali gus meningkatkan potensi agro pelancongan di wilayah itu.

Penulis baru-baru ini berkesempatan mengikuti lawatan bersama Kemente­rian Wilayah ke La­buan menerusi pe­ner­bangan Malindo Air.

Lebih manis, ia me­rupakan penerba­ngan sulung syarikat itu ke Labuan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilancarkan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Khalid berkata, penerba­ngan ke Labuan akan disediakan secara harian dan yakin perkhidmatan itu akan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi Labuan.

“Inisiatif ini adalah untuk mensejahterakan rakyat khususnya warga Labuan dan menjadikan Labuan sebagai pulau bebas cukai yang kompetitif,” katanya.

Dalam penerbangan sulung Malindo Air ke Labuan itu, Kementerian Wilayah turut membawa 500 anak pokok durian jenis D101 sebagai inisiatif projek Labuan Go Green.

Anak-anak pokok durian itu ditempatkan di Tapak Semaian Perbadanan Labuan untuk diagihkan kepada 27 kampung bagi tujuan tanaman secara berkelompok.

Dalam lawatan itu, kami turut dibawa ke Jabatan Pertanian La­buan di Kilan bagi melihat tanaman po­kok matag, kelapa pan­dan, rambutan dan durian pelbagai jenis.

Pengarahnya, Mo­hd. Jurijh Abdullah Fauzi berkata, kerjasama un­tuk membangunkan semula ekonomi Labuan melalui pertanian disambut baik oleh warga Labuan.

“Kami mahu penduduk di sini mempunyai produk sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan produk import,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 30,000 anak pokok kelapa dan be­nih buah-buahan seper­ti durian, mangga dan nangka dibawa masuk secara berperingkat oleh kementerian sejak 2016 untuk diagih kepada kampung-kampung di Labuan.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Kilan Pulau Akar Labuan, Mohd. Hassan Kapal berkata, beliau bersama penduduk kampung telah mewujudkan sebuah kebun komuniti bagi memberi manfaat kepada mereka pada masa akan datang.

“Terdapat 70 pokok kelapa pandan berusia enam bulan yang ditanam di kawasan ini. Kami diberi amanah untuk menjaganya. Setiap 300 rumah akan diberikan dua pokok untuk ditanam,” katanya.

Dalam lawatan itu, kami turut dibawa melawat perusahaan ikan bilis di Kampung Bebuluh Laut.

Menurut pengusahanya, Sabtu Aminah, 52, perniagaan ikan bilis mampu menjana pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan.

Katanya, dalam tempoh se­mi­nggu dia mampu memperoleh tangkapan sehingga satu tan ikan bilis.

“Tangkapan bermula seawal pukul tujuh pagi sehingga tengah hari. Hasil sehari biasanya tidak kurang 200 kilogram. Seterusnya, ikan bilis akan dicuci menggunakan air paip, garam serta direbus dan dijemur mengikut gred.

“Produk ini dipasarkan ke Sarawak, Negeri Sembilan, Te­rengganu dan sekitar La­buan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN