PHANG NGA, thailand 9 nov. – Seorang budak lelaki Thailand berusia 12 tahun berjaya meraih populariti seperti golongan selebriti dan mampu membina sebuah rumah untuk keluarganya dengan hanya menunjukkan kemahiran menggunakan alat solek menerusi aplikasi Instagram.
Oddity Central melaporkan, Nes mula bermain dengan alat solek ibunya sejak kecil dan ibu bapanya bukan sahaja memberi sokongan terhadap minat anak lelaki mereka itu malah turut memberikan tunjuk ajar tentang cara bermekap.
Sehingga kini, Nes mempunyai seramai 280,000 pengikut dalam Instagram yang menggemari teknik solekan serta gayanya berpakaian seperti seorang gadis sunti.
Budak lelaki itu juga pernah menjadi tajuk berita utama di Asia selepas dia memuat naik gambar sebuah rumah baharu yang dibina untuk ibu bapanya.
“Nes baru berusia 12 tahun tetapi Nes mampu membina sebuah rumah untuk ibu bapanya. Terima kasih kepada semua yang baik hati,” tulis bintang muda Instagram itu dalam ruangan profailnya.
Teknik Nes menggunakan alat solek juga menerima pujian daripada pelbagai pihak malah ada yang menyamakan kemahirannya dengan jurusolek profesional.
Bagaimanapun, Nes sering diejek oleh rakan-rakan sekolahnya berikutan hobinya yang suka bersolek dan mengenakan pakaian perempuan.
Namun, itu tidak menghalang budak lelaki berkenaan meneruskan minatnya dan meraih populariti di seluruh Thailand dan beberapa negara Asia lain termasuk China.










