KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM804 ribu dalam lima serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kelmarin.
Dalam serbuan selama dua jam bermula 2.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur turut berjaya menangkap lima ahli sindiket warga tempatan berumur di antara 22 hingga 45 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sindiket tersebut telah aktif sejak tiga bulan yang lalu dengan mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak.
“Dengan serbuan di pelbagai lokasi itu, pihak polis merampas dadah jenis heroin seberat 19.1 kilogram (kg) dan syabu (9.3kg) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM804 ribu.
“Dalam pada itu, beberapa barang turut disita dengan nilai sebanyak RM234 ribu iaitu lima buah kenderaan dengan dua jenis BMW, sebuah Honda Civic, Perodua Alza (1), motosikal Yamaha LC (1) juga pelbagai barang kemas dan wang tunai bernilai RM5,865, “ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah dan sitaan adalah bernilai RM1.38 juta.
Jelasnya, kesemua suspek direman bermula semalam sehingga Isnin depan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










