Polis trafik sujud syukur lepas dari tuduhan curi RM200 - Utusan Malaysia

Polis trafik sujud syukur lepas dari tuduhan curi RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Sebaik sahaja Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Sa’dat Abdul Manab, 33, daripada tuduhan mencuri RM200, anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal itu lantas melakukan sujud syukur dengan perkhabaran yang amat melegakan itu.

Beliau yang memakai baju kemeja berwarna hitam kelihatan sebak selepas menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan yang mengikuti prosiding sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusannya, dan melakukan sujud syukur beberapa saat di pekarangan mahkamah sebelum beredar.

Majistret Noorhidayah Mohd Saad dalam penghakimannya memberitahu bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, dan mengarahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Tertuduh didakwa mencuri wang RM200 milik Muhamad Alif Shahar, 25, di Kilometer 243.5 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Ipoh, kira-kira pukul 4.40 petang, 13 Julai 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam R S N Rayer. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN