GEORGE TOWN – Tiga suspek lelaki dipercayai warga asing mati ditembak polis selepas cuba menyerang anggota pasukan itu di dalam hutan Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bunga di sini kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Suspek yang tiada sebarang identiti diri dan berusia dalam lingkungan 30-an sebelum itu dikatakan bertindak memecah masuk sebuah kediaman berhampiran.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/ Operasi) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rahimi Raais berkata, polis menerima maklumat berkaitan suspek terbabit daripada seorang mangsa wanita dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dikatakan cuba melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.
“Semasa kita (anggota polis) mengejar suspek, mereka cuba menyerang anggota dengan menggunakan parang dan kita terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka,” kata di sini sebentar tadi.
Rahimi memberitahu, siasatan lanjut di lokasi kejadian telah menemui tiga bilah parang yang dipercayai milik suspek dan setakat ini polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah yang berlaku di daerah Timur Laut. – K! ONLINE










