KUANTAN – Polis Pahang hari ini melupuskan 763.32 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM1.11 juta yang merupakan barang kes berjaya diselesaikan di mahkamah bagi tempoh sepanjang tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, semua dadah tersebut diserahkan kepada sebuah syarikat di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi menjalankan proses pelupusan pada lewat petang ini.
“Sebanyak 1,970 kes berkaitan dadah pada tahun lalu sudah diselesaikan di mahkamah dan ia akan dilupuskan mengikut prosedur undang-undang,” kata beliau semasa sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pagi tadi.
Bagi jumlah tersebut, dadah jenis heroin mencatat nilai tertinggi sebanyak RM403,655 melibatkan berat 2.59kg, diikuti metamfetamin (RM243,273) dengan kuantiti 1.62kg.
Nilai barang kes ketiga terbanyak pula ganja (RM24,247) membabitkan berat 692.79kg dan diikuti ketamin dengan kuantiti 129.24kg bernilai RM12,924.
Dadah-dadah lain pula termasuk 144.16kg nimetezepam (RM10,812), 84.08 gram ekstasi (RM7,006), 349 liter air ketum (RM3,495) dan 147kg serbuk ketum (RM5,222).
Turut akan dilupuskan, 96.09 gram pil psikotropik (RM7,206), 0.3 liter mixacid (RM30) dan lain-lain jenis dadah seberat 157 gram bernilai RM11,829.
Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya juga telah menyiasat 11,560 individu terlibat kes dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dan 70 peratus daripada suspek telah dituduh di mahkamah. – K! ONLINE











