Polis minta bantuan kesan suspek kes pecah rumah - Utusan Malaysia

Polis minta bantuan kesan suspek kes pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang suspek dikenali sebagai Dillah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, satu laporan dibuat oleh seorang penduduk Kampung Padang Jambu di sini pada kelmarin selepas kediamannya dipecah masuk suspek.

Menurut Baharudin, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pemilik rumah tersebut dikatakan terserempak dengan suspek yang cuba masuk melalui sebuah tingkap kecil di bahagian dapur.

“Pemilik rumah yang baru sahaja pulang dari pasar ketika itu terkejut melihat suspek lalu terus memaklumkan kejadian tersebut kepada ahli keluarganya kerana suspek dikatakan membawa senjata tajam.

“Kita percaya suspek terbabit aktif melakukan kegiatan pecah rumah di kampung tersebut termasuk kawasan sekitarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Tambah Baharudin, orang ramai yang melihat kelibat suspek diminta terus menghubungi pihak polis dan tidak mengambil tindakan sendiri kerana suspek dipercayai sering membawa sebilah pisau bersamanya.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun atau menghubungi Bilik Gerakan di talian 09-8482222,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN