SUBANG JAYA 27 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat petunjuk bagi memburu dalang yang disyaki terlibat dalam rusuhan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kumpulan yang memasuki kawasan kuil sebelum kekecohan tercetus.
“Kita sedang lancarkan operasi memburu, namun kita perlukan maklumat lanjut daripada mereka yang menyaksikan kejadian. Oleh itu, kita harap orang ramai juga akan membantu mengenal pasti sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa hampir 30 minit di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bagi melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang cedera parah selepas diserang perusuh awal pagi ini.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa pihak polis tidak bertindak lebih awal sehingga mengakibatkan keadaan di lokasi rusuhan menjadi tidak terkawal, Mohamad Fuzi menjelaskan pihaknya bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kesesuaian keadaan.
“Ini bukan satu perkara yang mudah lebih-lebih lagi apabila membabitkan tempat ibadat. Kalau kita bertindak agresif nanti polis akan disalahkan, sedangkan kita beri bantuan pun ada yang menyalahkan polis.
“Ikut logik, takkan kita nak guna meriam air di rumah ibadat. Jika kita buat sedemikian mesti kita akan diserang jadi kita bertindak mengikut kesesuaian,” ujarnya.
Sementara itu di PERAK, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, seramai 21 orang telah ditahan di sekitar Lembah Klang berhubung insiden rusuhan yang turut mengakibatkan seorang anggota bomba cedera parah dan seorang anggota polis mengalami retak di tangan kirinya.
“Selain itu, kumpulan perusuh ini juga merosakkan sebuah bas, sebuah kereta, sebuah van dan sebuah motosikal dalam kejadian di sekitar kuil semalam dan hari ini,” jelasnya.










