Polis kesan Pok We bantu kehilangan pembantu am hotel - Utusan Malaysia

Polis kesan Pok We bantu kehilangan pembantu am hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Pok We yang merupakan suspek utama kes seorang pembantu am sebuah hotel di sini hilang sejak lebih setahun lalu selepas diculik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Syazwan Ayub, 22, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik mana-mana individu keluar daripada sempadan Malaysia.

“Suspek yang dikenali dengan nama Pok We ini adalah merupakan suspek utama kehilangan seorang lelaki, Mohamad Aiman Zafri, 25, dari hadapan sebuah kedai runcit di Taman Maju, di sini pada 5 Julai 2017.

“Siasatan lanjut menunjukkan suspek utama ini bersama empat lagi lelaki membawa mangsa ke Pekan Golok selepas kejadian itu. Kedua-duanya gagal dikesan sehingga ke hari ini dan polis menerima beberapa laporan berhubung kejadian daripada beberapa pihak dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan siasatan mendapati suspek utama dan mangsa mengenali rapat antara satu sama lain. 

“Kita ingin tegaskan bahawa kes ini tidak pernah ditutup dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis juga turut meminta bantuan Interpol bagi mengesan Pok We yang difahamkan kini berada di Thailand. Kami percaya dengan tertangkapnya suspek utama ini akan merungkai motif utama kejadian,” katanya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN