MUAR 13 Nov. – Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai warganegara Vietnam yang disyaki terlibat dalam kes pecah kedai bersenjatakan parang di Kampung Temiang, Jalan Bukit Pasir, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, empat lelaki warganegara berkenaan yang bertopeng turut menyerang anggota polis yang bergegas ke lokasi menggunakan parang berkenaan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, tiga daripada mereka yang berusia antara 23 hingga 32 tahun berjaya ditahan tidak lama kemudian.
“Hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Vietnam kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, manakala dua lagi suspek ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilancarkan sejurus selepas kejadian.
“Polis dalam usaha mengesan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










