Polis cari saksi kes kemalangan motosikal - Utusan Malaysia

Polis cari saksi kes kemalangan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Pihak polis sedang mencari saksi bagi satu kejadian kemalangan melibatkan seorang pembantu juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan perindustrian Bandar Tasik Kesuma Fasa 7 di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Aiman Abd. Razak, 26, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dtemukan terbaring berdekatan persimpangan jalan lokasi tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku mangsa difahamkan dalam perjalanan untuk menyelenggara mesin ATM di sebuah kedai serbanake 24 jam.

“Kemalangan yang berlaku tidak dapat dipastikan lagi sama ada mangsa yang merupakan seorang pembantu juruteknik mesin ATM itu terbabas sendiri atau pun melibatkan kenderaan lain kerana tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan kemalangan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian dahi dan bibir serta patah tangan kiri dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan susulan. Hasil imbasan pada bahagian kepala mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan dalaman dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, oleh sebab itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan, Inspektor M. Somasureshan di talian 016-4915193 atau balai polis berhampiran. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN