KUALA LUMPUR 10 Nov. – Gara-gara sebatang pokok tumbang, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di antara stesen LRT Cempaka dan Pandan Indah di sini tergendala selama kira-kira sejam.
Kejadian pada pukul 10.26 pagi itu menyebabkan plat besi yang membekalkan kuasa kepada tren itu turut rosak.
Ekoran kejadian tersebut, bekalan kuasa terpaksa dihentikan bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih serta pembersihan sekitar kawasan dilakukan.
Sementara itu, Rapid Rail turut menyediakan empat buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang yang terjejas dari stesen LRT Chan Sow Lin hingga ke Stesen Ampang sebelum sistem pulih sepenuhnya pada pukul 11.35 pagi.
Tiada penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid KL cedera dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, Rapid Rail memohon maaf kepada pengguna yang mengalami kesulitan dan pihaknya akan memantau pokok-pokok berhampiran dengan landasan LRT Bagi mengelak kejadian berulang. – UTUSAN ONLINE










