KUALA LUMPUR 1 Nov. – Nampaknya bukan semua cadangan atau idea yang mahu dilaksanakan oleh menteri Kabinet dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Contohnya mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi membolehkan cawangan parti politik ditubuhkan di semua universiti awam sebagaimana diutarakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Dr. Mahathir ketika ditemui selepas menghadiri majlis Anugerah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini hari ini berpandangan perkara itu tidak perlu dilaksanakan.
“Tidak, anda (pelajar) bebas untuk bercakap apa yang anda suka. Tidak payah la parti,” kata beliau.
Maszlee dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin memberitahu pindaan terhadap AUKU tidak lama lagi akan membolehkan cawangan parti politik ditubuhjan di semua universiti awam.
Langkah itu jelas Maszlee adalah sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun seperti dicadangkan sebelum ini.
Menyentuh mengenai Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan esok, Dr. Mahathir memberitahu beliau tidak tahu dan tidak dibenarkan ‘menceritakannya’.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Dr. Mahathir berpandangan jurang di antara Malaysia dengan negara-negara telah membangun semakin lebar dan potensi untuk mengejar negara-negara berkenaan semakin mencabar.
Bukan itu sahaja, beliau malah menegaskan, negara-negara yang tahap pembangunannya setara dengan Malaysia pula sedang pesat membangunkan ekosistem inovatif.
Dengan persaingan pasaran yang sama, tenaga kerja mahir dan pelaburan langsung asing (FDI), Dr. Mahathir bimbang dengan potensi negara-negara tersebut yang dilihat sangat tinggi untuk mengatasi Malaysia.
“Malaysia memerlukan ekosistem inovasi berfungsi penuh yang mampu menghubungkan jurang inovasi yang sedia wujud. Rangkaian kerjasama inovasi perlu dijalinkan antara sektor awam, perniagaan dan industri, kajian dan pembangunan serta masyarakat awam,” jelasnya.











