PJD berjaya lahirkan ramai usahawan kecil - Utusan Malaysia

PJD berjaya lahirkan ramai usahawan kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 27 Nov. – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menjadi antara satu simbol komitmen kerajaan negeri bagi membina masa depan rakyat golongan sasar sehingga kini telah menge­luarkan pinjaman modal berjumlah RM71.5 juta kepada 19,044 orang peserta melalui Program Jaya Diri (PJD).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Haron berkata, daripada jumlah itu hanya 113 orang peserta gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual dengan melibatkan jumlah RM200,000.

“Ini bermakna, rekod bayaran balik pinjaman PJD amat memuaskan dengan catatan sebanyak 97 peratus. Malah ketika ini seramai 2,643 peserta PJD masih aktif membuat pinjaman dengan nilai sebanyak RM15 juta.

“Pinjaman PJD ini mampu membantu peserta menjadi usahawan kerana cuma mengenakan syarat yang mudah iaitu penubuhan kumpulan dan pusat bagi menggantikan cagaran atau penjamin yang bekerja tetap,” katanya.

Alias berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Cek Pinjaman PJD di Dewan Utama, YPKT di sini, baru-baru ini. Yang turut hadir Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Dalam majlis tersebut, seramai 119 peserta PJD dari seluruh negeri berjaya menerima pinjaman modal bagi perniagaan ke­cil-kecilan yang ke­seluruhannya berjumlah RM1.03 juta.

PJD yang diperkenalkan pada 1994 memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah tertumpu kepada suri rumah, ibu tunggal dan belia memajukan diri serta keluarga mereka di dalam bidang keusahawanan.

Menurut Alias, berdasarkan rekod, sebanyak empat peratus PJD berjaya meningkat pendapatan sehingga RM500 sebulan, 63 peratus RM1,000 sebulan dan 11 peratus lagi sebanyak RM2,000 sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN