JOHOR BAHRU 13 Nov. – “Kami kelaparan. Kami ‘b…h’ (perlu) bantuan.” Itulah antara coretan dan rintihan mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu di Sulawesi, Indonesia pada 28 September lalu.
Melihat sendiri kemusnahan dan penderitaan yang dialami mangsa, terasa sebak dan sayu, namun pada masa yang sama mensyukuri kehidupan di Malaysia yang hingga kini jauh lebih aman dan terhindar daripada bencana alam berkenaan.
Berpeluang menyertai misi kemanusiaan yang dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare dan Pasar raya Econsave ke Palu, baru-baru ini memberi penulis bersama-sama menyelami secara lebih dekat kehidupan mangsa yang sedang berusaha untuk bangkit memulakan kehidupan mereka.
Nyata kehadiran rombongan misi kemanusian di beberapa kampung seperti Tanjung Padang, Jone Oge, Dusun Dua di Donggala dan Petobo, Balaroa dan Loli Donde di Palu untuk menyampaikan sumbangan dan bantuan berupa barangan keperluan serta sesi psikososial yang dikendalikan oleh dua doktor, iaitu Dr. Rafidah Bahari dan Dr. Hariani Ishak daripada Ikram Health amat dialu-alukan.
Malah, ahli rombongan sentiasa disambut dengan tangan terbuka dan dikerumuni, khususnya oleh golongan kanak-kanak untuk mendapat jajan dan gula-gula serta belon yang dibawa.










