Pihak pembelaan Rosmah terima dokumen 600 muka surat untuk perbicaraan - Utusan Malaysia

Pihak pembelaan Rosmah terima dokumen 600 muka surat untuk perbicaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas 17 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dan gagal membuat pe­nyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima dokumen 600 muka surat daripada pihak pendakwaan bagi perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Rosmah dalam sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

“Kesemua dokumen itu diberikan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah dan ia telah diserahkan pada 30 Oktober lalu,” katanya.

Ujar Kumaraendran, bagaimanapun pihaknya memohon tempoh masa sebulan untuk meneliti kesemua dokumen termasuk menunggu satu lagi dokumen iaitu penyata bank yang masih belum diperolehi.

Pada masa sama, Kumaraendran turut memaklumkan kepada mahkamah akan memfailkan permohonan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

Selain Kumaraendran, turut hadir bagi pembelaan dalam prosiding itu ialah Datuk Geetham Ram Vincent manakala pendakwaan diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Berikutan itu, Azura menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN