PHIM mahu Belanjawan 2019 diagihkan secara adil - Utusan Malaysia

PHIM mahu Belanjawan 2019 diagihkan secara adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) mahu Belajawan 2019 diagihkan secara sama rata tanpa mengira latar belakang kaum.

Perkara itu termasuklah mahu kerajaan Pakatan Harapan mengkaji semula peluang pekerjaan, menaik taraf sistem pendidikan sedia ada serta menilai peluang kontrak kerajaan tanpa mengetepikan kaum India di Malaysia.

Presiden PHIM, M. Manimaran, berkata, janji-janji yang diutarakan sebelum ini dalam manifesto Pakatan Harapan sewaktu musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) juga harus dicuba untuk dilaksanakan.

“Kami percaya kerajaan Pakatan Harapan memelihara dan menjaga kebajikan dan kepentingan semua kaum di Malaysia.

“Namun begitu, tetap ada beberapa perkara yang kami tidak berpuas hati dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan baik setelah mendengar Belanjawan 2019 yang akan diumumkan hari ini,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Selain mengulas tentang Belanjawan 2019, Manimaran turut mendesak kerajaan hari ini meluluskan cuti umum perayaan Deepavali selama dua hari sama seperti perayaan kaum lain.

“Sebelum ini, kami juga pernah menghantar memorandum mengenai perkara ini namun tidak mendapat apa-apa jawapan.

“Jadi, kami akan cuba hantar sekali lagi walaupun ini adalah kali ketiga kami melakukan percubaan yang sama,” katanya.

Kelibat PHIM di luar perkarangan Parlimen mendapat perhatian, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang kemudiannya berhenti singgah selama lima minit bertemu dengan ahli persatuan yang berhimpun.

Ketika ditanya mengenai Belanjawan 2019, beliau mengakui agak teruja untuk mendengarnya sebagai ahli Parlimen di barisan pihak kerajaan.

Mengulas tentang permintaan cuti dua hari sempena perayaan Deepavali, secara ringkas beliau berkata, perkara itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN