KOTA BHARU 3 Nov. – Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri ini menyambut baik pembentangan Belanjawan 2019 yang diibaratkan sebagai satu tawaran lengkap mengimbangi antara kebajikan rakyat dan kepentingan membangunkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ketuanya, Mohd. Khairul Amin Ab. Rahman berkata, belanjawan itu juga mencakupi semua aspek termasuk memberi tumpuan kepada golongan belia, isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan syiar Islam.
Beliau berkata, kerajaan dilihat serius mengurangkan bebanan ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat dengan menampilkan pelan pengurusan hutang yang meyakinkan.
“Pemuda menyambut baik tawaran pihak kerajaan terhadap pembangunan belia bagi memenuhi pasaran ekonomi semasa negara seperti program Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme for Employability (Generate) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Selain itu, Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) melibatkan belia berumur 15 hingga 17 tahun di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan peruntukan sebanyak RM 70 juta dilihat amat positif.
“Malah, golongan B40 turut menerima Bantuan Sara Hidup dengan penambahbaikan bantuan yang lebih bersasar dan mengikut saiz isi rumah pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khairul Amin, pihaknya juga berpuas hati dengan penambahan peruntukan bagi tujuan pembangunan syiar Islam di negara ini.
“Penambahan peruntukan sebanyak RM 1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion tahun ini menggambarkan bahawa kerajaan amat serius menjaga keistimewaan Islam sebagai agama rasmi negara ini,” jelasnya.
Oleh itu katanya, Pemuda PH Kelantan menyeru rakyat agar bersama membantu kerajaan membangunkan ekonomi dan memakmurkan negara dengan menggembleng tenaga serta bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang diceburi. – UTUSAN ONLINE









