JAKARTA, 6 Nov. – Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lepas.
Ketua Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia (KNKT) Soerjanto Tjahjono berkata, pesawat itu tidak meletup di udara, sebaliknya berkecai selepas terhempas di laut akibat kelajuan tinggi dan hentaman kuat.
“Pesawat itu meledak atau pecah (berkecai) selepas menyentuh air, serpihan-serpihan pesawat ditemui berselerakan di radius 250 meter di dasar laut,” katanya.
Setakat operasi pencarian pesawat itu yang memasuki hari ke-9 hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui serpihan-serpihan pesawat, enjin dan roda pesawat, barangan milik peribadi penumpang serta cebisan dan anggota mayat para penumpang.
Pada Khamis lalu (1 November), pasukan SAR menemui perakam data penerbangan (FDR) pesawat, dan kini tumpuan pencarian adalah kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu iaitu Cockpit Voice Recorder (CVR).
Operasi SAR yang menggunakan teknologi canggih seperti teknologi sonar, menemui FDR itu kira-kira 500 meter dari koordinat pesawat itu terhempas.
Penerbangan JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 29 Okt pukul 6.20 pagi.
Operasi SAR itu turut mengorbankan seorang penyelam awam, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Pasukan Penyelam Penyelamat Indonesia pada 3 November lepas akibat mengalami decompression sickness.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata, operasi kini tertumpu di koordinat yang ditemui alat FDR, tetapi berdepan kesukaran berikutan isyarat ‘ping’ dari CVR itu telah gagal dikesan sejak dua hari lepas.
“Sehingga hari ini, 164 bungkusan (beg jenazah) dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia untuk tujuan identifikasi, ia mengandungi 429 cebisan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Setakat ini, sebanyak 27 jenazah dikenal pasti menerusi ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, penyiasat insiden pesawat terhempas mendedahkan indikator kelajuan udara Boeing 737 MAX mengalami masalah tetapi pesawat itu masih dibenarkan melakukan sekurang-kurangnya empat penerbangan tanpa diambil apa-apa tindakan.
Menurut Ketua Jawatankuasa Pengangkutan Nasional, Soerjanto Tjahjono, perkara tersebut diketahui selepas memuat turun data daripada pesawat tersebut.
Pengeluar pesawat Boeing dan pihak berkuasa Amerika Syarikat juga diminta supaya mengambil tindakan untuk mengelak insiden yang sama berlaku.– BERNAMA/REUTERS











