Peruntukan Mara tidak berkurang, hampir sama seperti tahun lepas - Rina - Utusan Malaysia

Peruntukan Mara tidak berkurang, hampir sama seperti tahun lepas – Rina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menafikan dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkenaan pengurangan peruntukan untuk Majlis Amanah Raya (Mara) dalam Belanjawan 2019.

Menurut Rina, jumlah peruntukan sebanyak RM3.705 bilion yang disalurkan kepada agensi itu dalam Belanjawan 2019 adalah hampir sama seperti 2018 iaitu sebanyak RM3.79 bilion.

“Pada 2018, jumlah peruntukan kepada Mara dipecahkan kepada dua iaitu RM3.48 bilion di bawah belanja mengurus manakala RM307 juta di bawah belanja pembangunan.

“Bagi 2019 pula, peruntukan yang disalurkan juga dipecahkan kepada dua iaitu RM1.3 bilion di bawah belanja mengurus dan RM2.4 bilion di bawah belanja pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik Kementerian Pembangunan Luar Bandar 2017 di Hotel Premiera, di sini hari ini.

Semalam, Berita Harian melaporkan Khairy menuntut menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung pengurangan sehingga separuh peruntukan untuk Mara dalam Belanjawan 2019 berbanding 2018.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kerajaan telah melakukan penstrukturan semula peruntukan untuk Mara dalam Belanjawan 2019 di mana program penganjuran pelajaran Mara sebanyak RM2.057 bilion telah dipindahkan ke bawah belanja pembangunan.

Bagaimanapun, katanya, penyaluran peruntukan bagi program tersebut diletakkan di bawah belanja mengurus pada 2018.

“Kekeliruan yang ditimbulkan ini tidak sepatutnya berlaku jika Khairy membaca Belanjawan 2019 secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN