KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) memohon kerajaan mempertimbangkan semula pemberian bantuan musim tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil secara bersasar.
Presidennya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, langkah tersebut dilihat dapat membantu pekebun kecil yang amat kesempitan pada musim tengkujuh ditambah kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu juga menyebabkan hari torehan berkurangan dan ditambah harga yang rendah mengakibatkan pendapatan pekebun kecil tidak sampai RM1,100 sebulan.
“Dalam keadaan ini, PUGBM memohon kerajaan mempertimbangkan semula bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jelas Kameruzaman, sebahagian besar pekebun getah terutama yang berada di kawasan utama seperti Kedah, Kelantan dan Pahang hanya memiliki kebun sekitar 0.8 hektar.
Manakala sebahagian besar pekebun getah pula jelasnya, langsung tidak memiliki kebun sendiri.
“Mengikut data Lembaga Getah Malaysia (LGM) sehingga Oktober Lalu, seramai 98,245 pekebun getah berdaftar sebagai pengusaha, iaitu pekebun yang mengusahakan kebun milik orang lain.
“Pendapatan hasil jualan getah golongan ini perlu dibahagi dua dengan pemilik kebun berkenaan,” katanya.










